Sunday, May 2, 2010

MeNDapAT HiDAyAh ALLaH

Seseorang perlu mengamalkan beberapa langkah untuk mendapat hidayah Allah, iaitu:

1- Mencari ilmu.

Orang yang hatinya rindu kepada permainan, hiburan dan kelalaian dunia biasanya tiada masa untuk ilmu. Kadang-kadang mencuri masa yang sedikit untuk membaca al-Quran tanpa penghayatan. Terlepas peluang mengkaji hadis Rasulullah dan tidak terdetik di hati mempelajari sunnah dan mengamalkannya.

Kedudukan ilmu bukan untuk menghantarkan seseorang pada satu gelaran alim, ustaz atau tok guru. Tetapi, matlamat menghidupkan ilmu dalam diri adalah untuk menghantarkan kita berada dekat dengan Allah.

Ilmu membolehkan seorang hamba memahami bentuk ketaatan dan kesetiaan kepada Allah, mempelajari dan menghindari jalan yang dimurka-Nya. Ilmu juga membuka mata hati insan untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, di mana kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Ilmu diharapkan melahirkan Khalifatullah berpotensi memakmurkan bumi.

2- Mendampingi orang soleh.

Seseorang yang istimewa kedudukannya di sisi Allah memiliki sesuatu tidak dimiliki manusia biasa. Tutur katanya mampu menghantarkan petunjuk, hidayah dan hikmah ke dalam hati yang mendengar, akhlaknya menjadi penyejuk mata orang memandang, jasa dan perjuangannya menjadi sebutan yang tidak lapuk ditelan zaman.

Beruntung sesiapa yang bersahabat dengan mereka disebabkan amal soleh dan teladan ikhlas mampu menggerak hati ke jalan Allah dengan memperingatkan hamba-Nya berwaspada memilih sahabat sehidup semati, dunia akhirat.

3- Mengikuti sunnah Rasul dan Salafus soleh.

Setiap mukmin wajib beriman Rasulullah SAW berperanan menghantarkan petunjuk hidayah kepada umatnya hingga akhir zaman. Jadi, mengapa ada golongan yang mengaku Muslim mencari petunjuk lain yang bukan dibawa Rasulullah?

Fenomena mengada-adakan sesuatu urusan agama yang tidak pernah dilakukan baginda dan sahabatnya jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan fahaman baru yang menyalahi sunnah Rasulullah. Rasulullah pernah menyentuh perkara ini kepada Huzaifah Ibn al-Yaman, kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana timbulnya unsur dakhan di kalangan mereka.

- Penulis adalah Mufti Perlis.

No comments: